Menghadapi ujian ini, muslim perlu memperlengkapkan dirinya dengan petua-petua berikut:
Pertama : Hendaklah berbaik sangka dengan Allah yang telah mentakdirkan ujian yang berlaku.Hakikatnya semua orang akan melihat sudut yang negative tentang apa yang berlaku, sedangkan terdapat banyak perkara yang positif di sebaliknya.Hanya orang yang bijak dan sabar sahaja yang akan memperolehi perkara-perkara positif di sebaliknya.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 maksudnya :
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Barangkali tepat untuk dikemukakan bandingan yang diberikan oleh Muhammad al-Ghazali : " Jika anda diberi segelas air jeruk yang masam, janganlah dibuang tapi tambahlah gula padanya!
Kedua, muslim hendaklah meneruskan kehidupan seperti biasa, meneruskan agenda hidup dengan keceriaan dan bahagia.Benar kata-kata mereka : " Life has to carry on".Kita tidak sepatutnya berlarutan dalam duka.Lakukan latihan-latihan yang dapat meneruskan kesinambungan hidup secara-konsisten.
Ketiga, hadapilah ujian dengan objektif tanpa panic dan bayangkan suasana yang lebih baik yang pasti akan berlaku selepas ini.
Firman Allah swt dalam surah al-Syarh ayat ke 5-6 maksudnya :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Ke empat pelihara iman kerana ia merupakan energi hidup.Teruskan kesinambungan hidup dengan membersihkan hati agar menyinar nur keimanan dalm diri buat bekalan menghadapi kesusahan dengan semangat dan ketabahan.Orang yang sengsara bukanlah orang yang kehilangan harta benda tetapi orang yang terkikis dan terhakis imannya dek kegagalan menghadapi kepayahan yang sementara, sanggup memperdagangkan iman kerana mengelakkan kerugian harta.
Dan wasiat terakhir, hadapilah hari-hari ini dengan memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah.Antara doa yang menjadi amalan salaf yang dianjurkan oleh Nabi apabila menghadapi kesusahan dan kesedihan ialah dengan berdoa :
"Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (lelaki) dan anak hambaMu (perempuan) . Ubun-ubunku dalam gengamanMu, hukumanMu berlalu kepadaku, Qada’ ( keputusan ) Mu kepadaku adalah adil, aku mohon kepadamu dengan setiap nama yang telah engkau berikan untuk diriMu, atau yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang engkau simpankan dalam perbendaharan ghaib dari ilmuMu, agar Engkau jadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku , cahaya dadaku, pelenyap dukaku dan penghilang kesedihanku".( HR Ahmad dan Ibn Hibban, dianggap sahih oleh al-Albani dalam silsilah al-Ahadith al-Sahihah ) .
Semuga setiap muslim dikurniakn Allah sifat kekuatan oleh Allah mengadapi musibah dalam apa bentuknya sekalipun dengan keimanan dan ketenangan.
0 comments:
Post a Comment