Meragam atau 'memberontak' adalah salah satu sifat semula jadi yang ada pada kanak-kanak namun ada kala sifat ini menimbulkan kerunsingan dan kemarahan orang sekeliling terutama ibu bapa sendiri.
Bagi mengawal tabiat tersebut ibu perlu menggunakan pendekatan terbaik dan bersesuaian dengan jiwa si kecil iaitu dengan mengenalpasti apa pencetus kepada sikap mereka itu.
Seorang pakar psikologi yang juga penulis buku No More Meltdowns, Jed Baker, menggariskan enam punca utama yang kenapa kanak-kanak meragam dan cara mengatasinya.
1. Isu biologi
Kebanyakan kanak-kanak bertukar menjadi cepat marah apabila mereka lapar atau letih. Cara penting mengelakkan situasi itu adalah dengan membekalkan makanan ringan digemarinya dalam perjalanan, sementara menunggu untuk makan di restoran.
Bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu letih juga, pastikan mereka mendapat rehat mencukupi sebelum keluar rumah dan jangan terlalu lama berkunjung ke sesuatu tempat. Kanak-kanak akan lebih mudah bertolak ansur apabila di dalam jadual perjalanan yang diatur, mereka turut dibawa ke taman rekreasi.
2. Kekurangan aktiviti
Ketiadaan aktiviti yang boleh dibuat dalam tempoh masa lama juga menyumbang kepada sikap 'memberontak' kanak-kanak. Jika ibu bapa tidak menentukan sebarang aktiviti untuk anak-anak, mereka akan menciptanya sendiri yang akan mewujudkan ketidakpuasan ibu bapa. Sediakan bahan teka-teki, permainan, projek seni, buku, video dan aktiviti yang dapat mengurangkan ketegangan kanak-kanak menunggu.
3. Kehendak
Kebanyakan kanak-kanak akan berasa tertekan apabila diarah menyiapkan kerja rumah atau melakukan aktiviti baru. Bagi menangani perkara ini, anda perlu menjadikan arahan itu sebagai permainan untuk menimbulkan minat mereka seperti memberikan hadiah apabila mereka menyiapkan setiap tugasan.
Sekiranya kanak-kanak takut untuk mencuba sesuatu yang baru, jangan memaksa. Apa yang penting, bantu mereka menanganinya dengan meminta mereka melihat secara terperinci aktiviti berkenaan sebelum mencubanya secara perlahan.
4. Menunggu
Ada pula kanak-kanak yang akan 'memberontak' apabila tidak memperoleh apa diingini atau dilarang melakukan sesuatu perkara. Sebenarnya mudah untuk kanak-kanak bertolak-ansur berhubung perkara ini sekiranya mereka dapat melakukannya walau sebentar.
Jadi ibu bapa perlu membenarkan mereka meneruskan keinginan itu dengan syarat mengehadkan masa supaya mereka berhenti melakukan aktiviti dalam tempoh tertentu. Apabila kanak-kanak menentang untuk berhenti melakukan aktiviti digemari, pujuk mereka dengan cara terbaik seperti menjanjikan aiskrim jika mereka berhenti bermain di taman permainan dan mengikut anda pulang.
5. Bina semangat
Sesetengah kanak-kanak bersikap 'amat sempurna' dan 'tidak boleh menerima kekalahan' dalam segala tugasan seharian yang dilakukan. Anda perlu mengingatkan mereka bahawa anda sebenarnya mengagumi usaha yang dilakukan mereka walaupun hasil aktiviti yang dilakukannya tidak sempurna. Lebih baik, janjikan habuan jika mereka kalah sesuatu permainan bagi mengelakkannya merasa sedih atau rendah diri.
6. Melawan untuk perhatian
Bagi sesetengah kanak-kanak, sikap golongan dewasa yang tidak membenarkan mereka mengikuti aktiviti dilakukan akan membuatkan kanak-kanak merasa tersisih.
Kanak-kanak tidak akan meminta perhatian dalam keadaan yang tidak bersesuaian jika mereka memahami situasinya. Jika anda membawa kanak-kanak menemani anda bagi sebarang pertemuan atau tugasan penting, terangkan kepada mereka orang lain sama ada dewasa atau kanak-kanak tidak dibenarkan turut serta dalam perkara itu.
Sumber dari Akhbar Utusan 19 November 2009
*** Bagus artikel ni,dengan panduan ni dapatlah ibu bapa lebih memahami ada kehendak sebenar anak mereka. Aku pun kekadang pening bila farzana dok tunjuk-tunjuk tapi bila bagi kat dia bukan itu yang dia mintak..pastu mesti dia marah..allhamdulillah tak la dia sampai memberontak..paling-paling pun nangis sahaja sebab salah.
Thursday, November 19, 2009
Punca Kanak-kanak Memberontak
Posted by Nordiana Nordin at 12:26 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment